Tan Sri Khalid Ibrahim Dipecat dari PKR, kekal Menteri Besar Selangor sebagai Adun Bebas

0 Membangkang
KENYATAAN AKHBAR
PRESS RELEASE

PARTI KEADILAN RAKYAT

Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib TAN SRI KHALID IBRAHIM (Cabang Kuala Selangor).
Kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bertarikh 9 Ogos 2014.

Berikut adalah keputusan yang dicadangkan Lembaga Disiplin, yang turut mempertimbangkan surat-surat balasan oleh TAN SRI KHALID IBRAHIM bertarikh 6 Ogos 2014 dan 8 Ogos 2014, dan dipersetujui Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 21 Julai 2014 yang sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.

Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat.

Majlis Pimpinan Pusat turut mengambil maklum bahawa:

• Beliau ingkar terhadap keputusan yang telah dicapai oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Dato’ Seri Tn Guru Hj Abdul Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai:

o menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2;

o menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor;

• Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor;

• Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu;

• Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa TAN SRI KHALID IBRAHIM dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta.

DATO’ DR TAN KEE KWONG
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT

9 OGOS 2014

0 Membangkang:

Post a Comment

Popular Posts